ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan
dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan
kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan
yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa
tahun lalu di sebuah organisasi.
"Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini," kata
seorang kakak berterus-terang.
"Mengapa?" balas saya.
"Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada
ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak
pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja
sahaja."
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah
berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali
terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan
bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi
memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan
rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia
kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan
gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan
gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya
kepadanya, "kakak punya berapa orang anak?"
Sengaja saya bertanya soal-soal "di luar kotak" agar ketegangan dalam
sesi sebelumnya dapat diredakan.
"Oh ramai encik…"
"Bagaimana dengan anak-anak kakak?"
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam
profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah
dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
"Kakak, boleh saya bertanya?"
"Tanyalah encik…" ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di
wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang
anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
"Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang "menjadi" dengan
naik gaji, mana yang kakak pilih?"
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, "antara kakak naik
pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak
pilih?"
Dengan cepat kakak itu menjawab, "hati ibu encik… tentulah saya pilih
anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!"
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
"Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam
organisasi ini telah mendapat ganjaran…" kata saya perlahan. Hampir
berbisik.
"Maksud encik?"
"Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak
lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah
berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi."
"Tidak pernah saya terfikir begitu encik…"
"Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu
misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi
yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam
hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada
kita. Yakinlah."
"Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita
berikan kebaikan itu?"
"Maksud kakak?"
"Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja,
tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan
di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya.
Begitukah encik?"
"Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu
misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi
kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu
dipanggil golden rule!"
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara
apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
"Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu
jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba
sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk
masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi
isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk
di hadapan kita…"
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya
lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang
saya sampaikan dengan begitu teliti.
"Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau
setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah
lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong
sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita
bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?"
Kakak itu tersenyum dan berkata, "tak logik encik. Kereta yang kita
bantu tadi entah ke mana perginya."
"Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk
kita?'
"Pasti ada! Insya-Allah."
"Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita
tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk
memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada
di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati
orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas
kebaikan kita tadi."
"Subhanallah!"
"Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam
kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A
yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya
yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini."
"Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?" tanya
kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
"Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya
dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun
mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan
kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke
dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!"
"Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat."
"Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi,
Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya
di dunia lagi."
"Maksud encik?"
"Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam
hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami
yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan
dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan."
"Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat
atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki
bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!"
Giliran saya pula tersenyum.
"Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat
yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi
ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give
you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi
untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu
akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak
yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri
yang berpura-pura!" terang saya panjang lebar.
"Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang
tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?"
"Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya,
tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our "ceo",
kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan
diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan
berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…"
"Maksud encik?"
"Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang
kita buat kepadanya."
"Kenapa?"
"Kita akan sakit jiwa!"
"Kenapa?"
"Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau
kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan
berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas
dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur," balas
saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
"Tetapi Allah tidak berhenti memberi… " kata kakak itu perlahan.
"Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada
yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa
kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat
penghargaan dan ucapan terima kasih?"
"Ah, kita terlalu ego…"
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan
besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa "diperingatkan" semasa
memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas
daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
No comments:
Post a Comment