SOALAN: Semakin hari semakin jauh masyarakat kita terpesong daripada
ajaran agama. Bagaimana mengembalikan semula ajaran agama dalam
kehidupan kita? – Anak Melaka sejati, Bandar Melaka.
Jawapan: Saya menjawab persoalan ini semata-mata berdasarkan kenyataan
yang saudara kemukakan. Saya anggap, pengalaman saudara itu sesuatu
yang benar dan mahukan jawapan yang pasti lagi tepat.
Faktor utama menyebabkan seseorang itu terlibat dengan amalan sihir
ialah kerana ia tidak menyedari bahawa sihir itu salah satu dosa
besar, yang membinasakan, merosakkan diri orang yang berkenaan, orang
lain, juga masyarakat.
Merosakkan iman seseorang yang akhirnya menentukan seseorang itu akan
dimasukkan dalam neraka jahanam atau di syurga. Sihir boleh
menyebabkan syirik. Dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah swt.
Seseorang itu mungkin tahu sihir itu dosa besar, tetapi ia tidak
menyedari natijah buruk akibatnya. Semuanya diketepikan, asalkan
cita-citanya berhasil, contohnya dicalonkan menjadi ketua, calon atau
pengundi rasa belas kepadanya, tidak berupaya berfikir waras, calon
gerun atau tunduk kepadanya, seumpama terpukau.
Keadaan ini boleh berlaku akibat daripada sihir, yang dilakukan
melalui perantaraan individu tertentu, contohnya individu yang saudara
pergi dua kali di pinggir ibu kota di tengah malam, di mana rambut
calon diambil sebahagian daripadanya.
Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin atau
jin-jin yang boleh menyebabkan pengundi tunduk, seumpama mamai,
menurut sahaja apa yang disuruh oleh bakal calon tadi. Disuruh ikrar,
ikrar, disuruh sumpah, bersumpah, apatah lagi disogokkan dengan wang,
makan malam, sarapan pagi, baju kurung dan seumpamanya.
Inilah di antara contoh di mana manusia, dalam usaha untuk mendapat
kuasa undi menggunakan "khidmat" jin atau jin-jin, yang berkemungkinan
terdiri daripada iblis dan syaitan.
Allah memberi amaran bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata lagi
jelas. Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk ini hendaklah dianggap
sebagai musuh. Calon seperti ini secara tidak langsung menjadikan
syaitan itu temannya, di mana ia meminta tolong kepadanya. Dalam surah
An-Nisa: 38 Allah menjelaskan bahawa sesiapa yang menjadikan syaitan
itu temannya, maka syaitan itu adalah sejahat-jahat teman.
Dalam surah al-Jinn:6, pula dijelaskan memang terdapat manusia yang
meminta pertolongan atau perlindungan kepada jin atau jin-jin, maka
jin-jin itu akan menambah bagi orang yang berkenaan itu dosa dan
kesalahan.
Mungkin orang berkenaan tahu tentang dosa-dosa dan balasan Allah
akibat perbuatannya. Dalam masalah ini, kita kena ingat bahawa
seseorang itu bertanggungjawab terhadap kewajipan yang berkaitan
dengan Allah, berkaitan hak manusia, juga hak-hak yang berkaitan
dengan hak Allah dan hak manusia. Semuanya mesti dilaksanakan.
Mengenai hak yang berkaitan dengan hak manusia, sekiranya seseorang
itu bertaubat dan ia ada tanggungjawab dengan manusia, hak tersebut
mesti disempurnakan, seperti hutang yang berkaitan dengan harta,
maruah, kezaliman dan sebagainya. Diselesaikan atau dipohon halalkan
ataupun dipohon kemaafan. Kerana itu apabila amalan sihir itu
melibatkan kezaliman terhadap diri manusia, orang yang berkenaan
hendaklah memohon maaf kepada individu yang terlibat, juga mohon
keampunan kepada Allah kerana ia telah melakukan dosa besar yang
dilarang dalam Islam.
Diinsafi
Perlu disedarkan dan diinsafi bahawa orang yang melakukan sihir ialah
mereka yang melakukan sesuatu tindakan dengan menggunakan iblis dan
syaitan yang terdiri daripada golongan jin-jin. Mereka bertindak
supaya orang lain terpukau, rasa gerun kepadanya, rasa takut, rasa
sayang, mengikut telunjuknya, menyakiti orang lain menyebabkan orang
menderita. Suami isteri bergaduh akhirnya bercerai. Larikan anak dara
orang dalam keadaan terpukau. Mangsa sihir boleh menjadi hilang akal,
gila, melolong dan lain-lain perbuatan histeria
Perlu disedar, diinsafi bahawa orang yang melakukan perbuatan sihir,
melalui perantaraan orang lain yang ditemani di tengah malam, sama ada
di pinggiran gunung atau pinggiran ibu kota seperti yang saudara
temani, sebenarnya orang yang terlibat tidak tahu apa itu sebenarnya
sihir.
Mainan sihir iaitu mainan menggunakan iblis dan syaitan itu tidak ubah
seumpama melepaskan anjing liar, untuk menyerang mangsanya,
orang-orang tertentu, musuh yang menjadi seteru, rakan kongsi atau
lawan politik untuk merebut ketua bahagian ataupun ketua cawangan.
Anjing yang dilepaskan itu anjing liar, yang dia tidak kenali dan
tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh anjing itu. Sama ada
menerkam mangsa, membaham bahagian tengkok, kepala, seluruh badan dan
sebagainya, menyebabkan mangsa menderita, mungkin mati akibat ragutan
geraham anjing liar tadi.
Begitu juga tamsilnya kepada orang yang terlibat dengan sihir, menemui
orang-orang tertentu untuk menyakiti lawannya. Makhluk ini akan
menyerang orang yang berkenaan dan tidak diketahui apa kesudahan
terjadi kepada manusia. Sekali makhluk ini menyerang, ia akan terus
menyerang. Mangsa akan selamat sekiranya pertahanan dirinya kuat,
hasil daripada bertakarub kepada Allah dan perlindungan Allah hasil
daripada tadaruk dan takwa kepada Allah.
Serangan anjing adalah serangan fizikal. Serangan iblis dan syaitan
ialah pada roh atau jiwa mangsa. Kerana itu mangsa sihir melibatkan
gangguan roh, menyebabkan seseorang itu resah gelisah, sedih, suka,
ketawa, meracau tanpa dapat mengawal diri. Tidak boleh tidur malam,
sentiasa ada rasa was-was, syak wasangka dan sebagainya.
Pada satu tahap tertentu, serangan makhluk ini tertumpu pada bahagian
otak, menyebabkan mangsa bertindak atau berkelakuan ketidaknormalan
otak, serangan pada hati menyebabkan mangsa was-was, rasa hendak bunuh
diri, rasa kecewa hidup dan sebagainya, tanpa ada alasan atau sebab
yang jelas.
Mangsa sihir juga menyebabkan seseorang itu seumpama terpukau, tunduk
mengeluarkan wang di dompet, emas di pergelangan tangan juga
mengeluarkan wang melalui mesin atau 'arahan' orang yang melakukan
sihir. Banyak terjadi mangsa sihir terpukau, ikut turut kepada
pelakunya, iaitu dirogol dan sebagainya.
Perlu difahami orang yang melakukan perbuatan sihir yang diistilahkan
sebagai "sihir", tidak akan melakukan sembahyang seperti saudara
jelaskan. Sekiranya ia melakukan sembahyang, seperti yang saudara
lihat, sembahyang adalah tidak diterima Allah. Mesti difahami bahawa
sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan
kemungkaran.
Bererti bahawa orang yang sembahyang tidak akan melakukan perbuatan
sihir, kerana sihir itu adalah sebesar-besar kemungkaran dan
kejahatan. Sembahyang mencegah pelakunya, iaitu orang yang melakukan
sembahyang itu daripada melakukan kejahatan. Bererti biarpun orang
yang melakukan perbuatan sihir itu sembahyang, dia sebenarnya tidak
sembahyang dalam erti kata sebenar.
Tidak sembahyang di sini bererti bahawa sembahyang yang dilakukan itu
tidak sah iaitu terbatal, ataupun sembahyang yang dilakukan itu sah,
tetapi tidak diterima oleh Allah. Apabila sembahyang yang dilakukan
itu tidak diterima Allah, maka sembahyang tersebut tidak boleh
mencegah tuannya, iaitu orang yang melakukan sembahyang itu daripada
melakukan perbuatan jahat dan kemungkaran. diperjelaskan bahawa sihir
adalah sejahat-jahat kemungkaran dan kejahatan.
Selain daripada faktor yang dijelaskan, orang yang melibatkan amalan
sihir adalah mereka yang tunduk kepada kehendak nafsu. Dosa sihir
selain tidak difahami, tidak disedari atau disedari, tetapi matlamat
kemenangan yang diperoleh itu dirasakan lebih utama, atau lebih besar
manfaatnya berbanding dengan dosa-dosa dan kezaliman terhadap amalan
sihir yang tidak seberapa difahami atau dimaklumi.
Membinasakan umat
Cukuplah dengan rasuah yang membinasakan umat, membinasakan negara,
masyarakat juga individu. Kebinasaan atau kaum atau parti politik itu
akan terserlah apabila amalan rasuah itu digabung dengan sihir. Allah
melaknat orang yang menerima rasuah, pemberi rasuah, juga runner yang
menjadi pengantara.
Orang yang seperti ini, iaitu yang terlibat dengan rasuah juga amalan
sihir apabila menjadi pemimpin akan meneruskan amalan tersebut. Orang
seperti ini besar kemungkinan boleh berjaya, kerana manusia lebih
rakus dengan wang, glamour dan kesenangan zahiriah.
Walaupun perlu diingat, bahawa apabila Allah melaknat seseorang,
terutamanya mereka yang terlibat dengan rasuah juga amalan sihir,
bererti Allah tidak meredai hidup mereka. Allah tidak berkati hidup
mereka, kaya, disaluti emas berlian bergemerlapan, tetapi mereka tidak
akan memperoleh ketenangan pada diri, juga keluarga. Tidak ada sesuatu
yang lebih nikmat hidup dalam dunia ini selain daripada ketenangan.
No comments:
Post a Comment